Hidup di bawah bayangan al-Quran adalah suatu keni’matan yang
tidak dapat diketahui melainkan hanya oleh mereka yang mengecapinya
sahaja. Ia adalah suatu keni’matan yang meluhur, memberkati dan
membersihkan usia seseorang.
Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah yang telah mengurniakan
kepadaku keni’matan hidup di bawah bayangan al-Qur’an selama beberapa
waktu, di mana aku telah mengecapi nikmat yang tidak pernah aku kecapi
sepanjang hidupku, iaitu ni’mat yang meluhur, memberkati dan
membersihkan usiaku.
Aku hidup seolah-olah mendengar Allah bercakap kepadaku dengan
al-Quran ini… ya Dia bercakap kepadaku seorang hamba yang amat kerdil
dan amat kecil. Manakah penghormatan yang dapat dicapai oleh seseorang
lebih tinggi dari penghormatan Ilahi yang amat besar ini? Manakah
keluhuran usia yang lebih tinggi dari keluhuran usia yang diangkatkan oleh
kitab süci ini? Manakah darjah kemuliaan bagi seseorang yang lebih tinggi
dari darjah kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah Pencipta Yang Maha
Mulia?
Aku telah hidup di bawah bayangan al-Qur’an dan di sana aku
melihat jahiliyah berkecamuk di muka bumi ini dan aku melihat minat dan
cita-cita penduduk-penduduk dunia ini amat kecil dan kerdil, aku melihat
pemuja-pemuja jahiliyah itu berbangga-bangga dengan ilmu pengetahuan
yang ada pada mereka, iaitu ilmu pengetahuan kanak-kanak, kefahaman dan
pemikiran kanak-kanak, minat dan cita-cita kanak-kanak sama seperti
pandangan seorang tua kepada mainan kanak-kanak, percubaan kanakkanak
dan keteloran lidah kanak-kanak. Aku merasa kaget dan hairan
mengapa manusia jadi begini, mengapa mereka jatuh ke dalam lumpur yang
kotor dan penuh penyakit ini? Mengapa mereka tidak mendengar seruan
Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Besar, iaitu seruan yang dapat meluhur,
memberkati dan membersihkan usia seorang?
Aku telah hidup di bawah bayangan al-Quran dan di sana aku dapat
meni’mati kefahaman yang sempurna dan meliputi, tanggapan yang tinggi
dan bersih terhadap alam al-wujud, terhadap matlamat seluruh alam alwujud
dan terhadap matlamat kewujudan manusia itu sendiri. Kemudian
aku bandingkan dengan kefahaman-kefahaman dan tanggapan jahiiyah yang
dihayati oleh umat manusia di Timur dan di Barat, di Utara dan di Selatan.
Kemudian aku bertanya: Mengapa manusia sanggup hidup dalam paya yang
busuk, di tahap yang amat rendah dan di dalam gelap gelita kesesatan yang
menghitam itu, sedangkan mereka mempunyai padang-padang yang bersih,
tempat-tempat yang tinggi dan cahaya yang terang benderang?
Aku telah hidup di bawah bayangan al-Qur’an, dan di sana aku dapat
merasa adanya keseimbangan yang indah di antara harakat manusia seperti
yang dikehendaki Allah dengan harakat alam buana yang diciptakan Allah.
Kemudian aku melihat keadaan simpang-siur yang dialami oleh umat
manusia yang telah menyimpang dan undang-undang alam buana, juga
melihat percanggahan di antara pengajaran-pengajaran yang merosak dan
jahat yang diajarkan kepada mereka dengan fitrah semulajadi mereka, lalu
aku berkata di dalam hatiku: Manakah syaitan yang jahat yang telah
memimpin umat manusia ke Neraka ini?
Alangkah ruginya manusia!
Aku telah hidup di bawah bayangan al-Quran dan di sana aku melihat
alam al-wujud ini adalah jauh lebih besar dari saiznya yang lahir yang dapat
dilihat itu. Ia lebih besar dari segi hakikatnya dan dari segi bilangan aspekaspeknya.
Ia mencakup alam ghaib dan alam syahadah kedua-dua sekali
bukannya alam syahadah sahaja. Ia merangkumi dunia dan Akhirat kedua-dua
sekali bukannya dunia ini sahaja. Dan kewujudan manusia adalah
bersinambung di lorong-lorong zaman yang amat jauh itu. Maut bukannya
penghabisan perjalanan hidup manusia, malah ia merupakan suatu peringkat
perjalanan di tengah jalan. Segala sesuatu yang dicapai oleh seseorang di
dunia ini bukanlah merupakan seluruh habuannya, malah hanya merupakan
sebahagian dari habuannya sahaja. Segala balasan yang terluput di dunia ini
tidak akan terluput di Akhirat nanti. Di sana balasan tidak akan mengalami
penganiayaan, pengurangan dan kesesiaan. Peringkat perjalanan yang dilalui
manusia di bumi ini merupakan peringkat perjalanan di sebuah alam hidup
yang lumrah, sebuah alam sahabat yang mesra dan sebuah alam yang
mempunyai roh yang sentiasa menerima, menyambut dan ia bertawajjuh
kepada Allah Pencipta Yang Maha Esa sebagaimana roh orang yang beriman
bertawajjuh kepada-Nya dengan penuh khusyu’.
وَلِلّهِ يَسْجُدُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ طَوْعًا وَآَرْهًا وَظِلالُهُم بِالْغُدُوّ وَالآصَالِ
15. “Hanya kepada Allah jua sujudnya sekalian penghuni langit dan bumi
sama ada dengan sukarela atau terpaksa dan bayang bayang mereka (juga
turut sujud) di waktu pagi dan petang.”
(Surah ar-Ra’d)
تُسَبِّحُ لَهُ السَّمَاوَاتُ السَّبْعُ وَالأَرْضُ وَمَن فِيهِنَّ وَإِن مِّن شَيْءٍ إِلاَّ
يُسَبِّحُ بِحَمْدَهِ وَلَكِن لاَّ تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ إِنَّهُ آَانَ حَلِيمًا غَفُورًا
44 . “Langit yang tujuh dan bumi sera sekalian penghuninya sentiasa
bertasbih kepada Allah dan tiada suatu kejadian pun melainkan
seluruhnya bertasbih memuji Allah.”
(Surah al-Isra’).................................................................................
petikan tulisan sayyid qutb dalam muqaddimah fi zhilalil quran, terlalu menyentuh hati ku,
berkali2 ku bace tulisan ini, dan buat sekian kalinya air mata ku mengalir..
ini bukan tulisan dari seorang pujangga,ini bukan tulisan dari seorg presiden,tetapi
tulisan dari seorg yg benar2 merasai nikmat menyinta dan dicintai oleh Allah, Tuan empunya alam ini..
al-fatihah buat as-syahid sayyid Qutb rahimahumullah...