Hati yang beriman...

"orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram
dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram."- Ar-Ra'd : 28

Saturday, May 30, 2009

Cinta Utama

Bismillah,
Dengan segala puji kepada Allah Yang Maha Besar, Maha Mengetahui segalanya.
Syukur dipanjatkan tiada terhingga sekali lg pada Sang Pencipta atas segala nikmat yang telah
diterima dan bakal dinikmati.
Segunung kerinduan terhadapNya,pesuruhNya nabi Muhammad SAW,dan rindu juga ku coretkan buat ibunda, ayahanda, serta semaian rindu buat keluarga dan sahabat-sahabat yang jauh di mata.

Petang yang berlalu, bila mana aku memandang ke luar halaman rumah dgn desiran angin petang menjamah muka ku, suasana damai dan nyaman menyapa hati ini, lantas ianya membawa aku mengingati satu kisah cinta agung seorg hamba terhadap Penciptanya. Rabiatul Adawiyyah, nama besar penghulu dan guru besar kepada generasi tabiin dan ahli sufi, cintanya pada Ilahi tiada terkalah oleh cinta duniawi sehingga hatinya tiada tempat untuk seorg lelaki pun dalam dunia ini.
"Cinta Utama" tajuk ku beri, adalah cinta kepada Allah. Al-imam Syed Qutb rahimahullah telah menulis dalam kitabnya "Petunjuk Sepanjang Jalan" tentang hubungan manusia dan Sang Pencipta. Generasi unik al-Quran diberi gelaran kepada para sahabat yang bersama-sama Rasulullah ketika itu membayangkan bagaimana hidup menjadi hamba kepada Allah azzawajalla secara lansung terus menerus tanpa hijab. Gerak langkah yakni akhlak mereka
selari dengan gerakan alam jua yang sentiasa tunduk dan patuh pada tabii kejadian mahkluk yang sentiasa memerlukan pimpinan wahyu dari Allah Yang Maha Esa. Mereka sentiasa tunduk dan patuh pada seruan yang Maha Pencipta mahukan. Jika arak yang Allah haramkan, sesaat berlalu wahyu, tempayam arak juga mereka pecahkan. Inilah generasi unik itu, mereka hidup seolah-oleh mendengar Allah azzawajalla berhubung lansung kepada mereka, kerana mereka hidup dengan "Cinta Utama" dalam diri mereka. Cinta yang membayangkan erti sejuta makna penghidupan di dunia dan di akhirat sana.

Kembali semula ke dunia kita, generasi iphone ku beri gelaran nama, penanda arus kemodenan
yang sungguh tinggi dalam capaian hidup tamadun manusia dari dulu sehingga mellenium ini.
Bagaimana kamu? Apa cinta utama kamu?
Lihat sekeliling kamu, teliti tingkah laku mu, selami hati mu, tanya iman kamu..apakah selama ini kamu meletakkan cinta utama itu pada tempatnya. Ramai manusia di era jahiliyyah ini jauh sekali memandang cinta ini dari kaca mata yang tepat dan betul. Kecintaan terhadap duniawi berakar umbi dalam jiwa manusia kini, terlalu mendalam, sukar untuk digambarkan. Kenapa tidak? lihatlah suasana masyarakat kini, adik-beradik sanggup bermusuhan kerana tanah sebidang, isteri sanggup diceraikan kerana sudah ada pengganti yang lebih kaya dan berpangkat,
anak sanggup menderhaka kerana sayangkan isteri, menteri sanggup mkn rasuah kerana habuan yang lumayan dan banyak lagi seketsa kehidupan yang menjadi lambang keangkuhan manusia kini walaupun mereka sedar cinta mereka itu hanya cinta buta, tiada makna hakiki disebalik semua itu.

Kembalilah wahai hati-hati yang malang, seru diri mu utk kembali menyintai Yang Hak. Dia sentiasa mengasihi kalian kerana sifatNya memang Yang Maha Pengasih dan Penyayang.
Jadikanlah Dia Sang Pengcipta sebagai "Cinta Utama" kamu, kerana tahta "Cinta Utama" itulah tempat awal dan akhir cinta itu patut diletakkan mengikut keutamaan. Semoga diri kamu dan aku juga beroleh manfaat yang sama dari cinta yang kita hadapkan ini, cinta yang kekal abadi menuju pertemuan akhir dalam penentuan takdir Ilahi.

Wallahua'lam......

Saturday, May 16, 2009

"Antara Dua Panggilan"

Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dipetik dari www.detikdaily.net)

PAS panas memperdebatkan isu kepimpinan parti itu sama ada patut dipegang oleh golongan ‘ulama’ atau professional? Saya tidak berhasrat untuk memberikan pandangan kerana itu urusan ‘rumahtangga jiran’ yang tiada keperluan untuk campur tangan. Namun apabila ramai orang bertanya saya dalam bentuk soalan yang lebih luas; apakah menurut Islam hanya ulama sahaja yang boleh menjadi ketua negara? Jika itulah soalannya, saya rasa terpanggil untuk turut memberikan pandangan.

Saya masih ingat dalam satu temubual Akhbar Harakah dengan saya beberapa bulan lepas, saya telah menjawab persoalan-persoalan yang dikemukakan. Hampir semua yang saya jawab disiarkan, cuma beberapa jawaban saya tidak dikeluarkan. Antara jawapan saya yang tidak diterbitkan itu, saya menyebut: “Pemikiran politik Islam yang difahami oleh sesetengah para pejuang negara Islam itu sendiri perlukan perubahan atau tajdid. Kita tidak boleh terikat dengan konsep Darul Islam yang tulis oleh al-Imam al-Mawardi r.h dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah lagi.

Barangkali banyak isi kandungan buku tersebut sesuai untuk zaman Kerajaan Abbasiyyah yang ketika itu. Dengan menghormati kesarjanaan dan ketokohan al-Imam Al-Mawardi r.h, namun beliau dalam banyak hal menggambarkan sistem kerajaan pada zamannya, sedangkan konsep pentadbiran dan politik dalam Islam jauh lebih fleksibel dan luas dari apa yang digambarkan oleh al-Mawardi ketika itu…

Politik Islami tidak boleh lagi sekadar mengulangi apa yang disebut oleh al-Imam al-Mawardi r.h, nanti kita akan tersepit. Jika sesetengah tokoh agamawan yang memperjuangkan negara Islam tidak lebih terbuka, mereka akan menghadapi masalah, atau bercakaran sesama sendiri apabila tiba ke peringkat perlaksanaan Islam itu dalam alam realiti. Akhirnya, kelompok pembaharuan akan muncul di tengah-tengah mereka dan pergeseran akan berlaku. Maka tafsiran politik Islami itu sendiri perlu diluaskan”.

Ya, al-Imam al-Mawardi r.h dalam tulisannya menyebut syarat seorang khalifah mestilah memiliki ilmu yang memampukannya berijtihad dalam menyelesaikan keadaan dan hukum. Al-Mawardi juga menyebut bahawa khalifah mestilah berketurunan Quraish. Jika dilihat dari segi dalil, walaupun lojiknya ada, tetapi tiada nas yang mensyaratkan seseorang khalifah mesti mencapai ilmu ke peringkat ijtihad hukum.

Tetapi, ada hadis sahih yang menyebut: “Para imam itu daripada Quraish”(Riwayat Ahmad). Sehingga kata al-Mawardi: “Hendaklah imam (khalifah) itu berketurunan Quraish disebabkan ada nas yang menyebutnya dan telah berlaku ijmak (consensus)”. Ertinya, jika syarat-syarat al-Mawardi itu hendak dipegang, maka syarat Quraishlah yang mempunyai dalil hadis. Syarat-syarat lain hanyalah atas lojik yang kuat dalam urusan politik seperti sempurna pancaindera, kesihatan, pemikiran dan seumpamanya.

Menariknya, di Malaysia belum ada yang bertanya: apakah Perdana Menteri disyaratkan seorang yang berketurunan Quraish? Untuk pengetahuan, Ibn Khaldun dan beberapa sarjana lain mempunyai tafsiran yang berbeza dalam isu pensyaratan Quraish sebagai khalifah. Bukan di sini untuk saya bincangkan. Apa yang hendak saya sentuh, perlu keluasan pemikiran dalam menganalisa atau berpegang dengan teks-teks klasik yang sebahagiannya mempunyai keadaan yang berbeza.

Isu pemimpin negara mestilah ulama menjadi lebih rancak dibincang dalam dunia pemikiran apabila tercetusnya Revolusi Iran dan Khomeini memperkatakan tentang konsep Wilayah al-Faqih yang meletakkan faqih atau ulama sebagai pemimpin. Konsep itu mempunyai akar umbi kefahaman Syiah yang tersendiri, walaupun ia juga didebatkan di kalangan mereka. Gerakan-gerakan Islam yang wujud, sebahagiannya terpengaruh dengan perkembangan-perkembangan ini.

Di samping, pengalaman menunjukkan ramai pemerintah negara yang‘bukan ulama’ dalam kalangan umat Islam telah gagal untuk berpegang dengan Islam, hingga ramai yang menyangka hendaklah ulama yang menjadi pemerintah. Padahal, penyelewengan yang berlaku dalam banyak keadaan bukan disebabkan latar pendidikan, tapi disebabkan oleh prinsip kehidupan yang dihayati oleh seseorang individu pemerintah itu sendiri. Dalam ertikata lain, jika pemerintah itu bukan ulama sekalipun, tetapi jika dia ingin menjadikan negara berpegang dengan prinsip-prinsip Islam, nescaya dia mampu melakukannya.

Ini kerana, dia boleh mendapatkan khidmat ulama dan nasihat mereka. Betapa ramai pemerintah yang bukan saintis tetapi berjaya menyuburkan perkembangan sains dan teknologi dalam negaranya. Sebaliknya, jika pemerintah itu lulusan pengajian Islam sekalipun, tetapi tiada hasrat meletakkan keadilan seperti yang dituntut oleh Islam, maka maksud siasah islamiyyah tetap tidak akan tercapai.

Kemudian, apa yang menjadi masalah kepada masyarakat kita siapakah ulama menurut kefahaman orangramai?. Apakah seseorang itu dianggap ulama hanya kerana dia berkelulusan pengajian Islam? Atau kerana dia memakai jubah dan serban? Atau kerana dia dipanggil ‘ustaz’?. Perkataan ulama berasal dari ‘ilmu’. Bermaksud seseorang yang menguasai ilmu. Jika ia dikaitkan dengan pengajian Islam membawa maksud seseorang yang menguasai ilmu dalam bidang pengajian Islam.

Bidang pengajian Islam itu pula luas; ada bab ibadah, muamalah, siasah, tazkiyah al-nafs dan lain-lain. Apakah jika seseorang yang hanya menguasai satu bidang sahaja sedangkan tidak kemahiran dalam siyasah atau politik, layak digelar ulama yang boleh memerintah? Al-Imam al-Mawardi sendiri meletakkan salah satu dari tujuh syarat khalifah mempunyai pemikiran yang memampukannya menguruskan politik dan kemaslahatan rakyat jelata. Jika dia bergelar ulama, tetapi ‘kontang’ dalam soal ini, dia tidak layak.

Saya berpendapat perbahasan; samada ulama atau professional yang layak menjadi ketua negara hanya membazirkan waktu. Apa yang penting kita hendaklah jelas; apakah yang kita kehendaki daripada pemerintahan dan politik? Yang menjadi tanggungjawab politik islami adalah keadilan dan kesejahteraan yang berdasarkan petunjuk wahyu.

Dalam melaksanakan maksud ini, hasrat seseorang pemerintah yang dibantu oleh ilmu pengetahuan adalah penting. Jika dia ulama yang mahir dalam politik serta mempunyai ketangkasan siasah, tentulah itu yang terbaik. Jika dia seorang ahli politik yang mahir sekalipun tidak ulama, dia boleh dibantu oleh para ulama yang mendokong hasratnya. Apatah lagi kita kini dalam kerangka negara moden yang lebih teratur dan tersusun dibanding negara pada zaman buku-buku klasik politik Islami itu ditulis.

Apa yang menjadi masalah adalah jika seseorang jahil atau tidak mahir pentadbiran dan siyasah tetapi ingin memerintah. Sekalipun dia memakai gelaran ‘ulama’ ataupun professional. Justeru itu, Nabi s.a.w bersabda kepada sahabah baginda yang soleh dan warak Abu Zar al-Ghifari :

“Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya.” (Riwayat Muslim).

Namun Khalid bin al-Walid r.a. sekalipun Nabi s.a.w. pernah menegur dan membantah beberapa tindakannya yang melanggar disiplin peperangan yang digariskan oleh baginda, tetap baginda pilih mengepalai tentera Islam dan menggelarnya sebagai pedang Allah. Ini kerana kemampuan yang dimiliki Khalid tidak dimiliki oleh sahabat-sahabat lain, sekalipun mereka lebih berilmu dan dekat dengan Nabi s.a.w dibandingkan Khalid.

Al-Imam Ibn Taimiyyah dalam Al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah al-Ra`iy wa al-Ra`iyyah menyebut: “Apabila dua orang, salah seorangnya lebih amanah dan seorang lagi lebih kuat (mampu) maka hendaklah didahulukan yang lebih bermanfaat untuk jawatan berkenaaan dan paling kurang mudharatnya bagi jawatan tersebut. Maka dalam mengepalai peperangan, yang kuat dan berani -walaupun padanya ada kejahatan- diutamakan dari lelaki yang lemah dan tidak berkemampuan walaupun dia seorang yang amanah.

Maka tanggungjawab umat Islam sekarang bukan membincangkan ‘ulama’ atau ‘professional’ yang layak memerintah, tetapi melihat tanggungjawab jawatan tersebut dalam kerangka politik hari ini dan siapakah yang paling sesuai atau paling berkesan dalam mencapai matlamat sebuah negara yang adil dan dirahmati Allah. Isunya bukan isu gelaran, atau jenis pakaian, tetapi isu amanah dan kemampuan dalam mentadbir dan menguruskan kehidupan rakyat.

tuhan baru manusia kini....

Lupakan kedaulatan Sultan Perak. Lupakan kedaulatan Raja-raja. Semua ini adalah ciput. Semua kedaulatan ini tidak akan diambil kira dalam agenda globalisasi yang sedang berjalan saat ini.

Semua Tun, Tan Sri, datin, pak haji, ayatollah, padri, sami, rabbai atau apa sahaja bentuk manusia semuanya menjadi ciput dalam agenda baru yang sedang berjalan hari ini.

Tuhan baru telah muncul. Tuhan yang dibawa oleh sistem kapitalis. Tidak percaya? Sila renung dan periksa diri sendiri. Sistem ekonomi kapitalis telah menjadikan manusia berebut-rebut untuk mengumpul harta. Sistem ekonomi kapitalis telah melahirkan satu budaya sehingga umat manusia dalam dunia ini terlupa dan terlalai bahawa kita hanyalah transit di atas muka bumi ini.

Budaya kapitalis ini telah mencakupi semua aspek kehidupan manusia. Manusia moden kurun ke-21 telah dilalaikan untuk menjadi binatang konsumer yang mengguna dan mengumpulkan pelbagai "biji-biji saga" dan barangan kodi untuk mainan.

Manusia moden telah menjadi seperti toyol yang asyik bermain dengan biji-biji saga hingga terlupa bahawa tujuan hidup ini untuk mengenal diri sendiri dan melakukan kebaikan.

Sistem kapitalis telah membawa satu budaya dimana ia mengasak, meraba dan merangsang sifat jahat dalam diri manusia. Hukum induk ekonomi kapitalis - keuntungan maksimum – telah melupuskan nilai baik yang sedia wujud dalam diri manusia.

Justeru, apakah kita hairan apabila kita terbaca dalam akhbar bagaimana pembekal susu tepung di tanah besar China telah membubuh melamin dalam tepung untuk dijual sebagai susu. Mereka menjual susu ini bukan kepada orang Sweden tetapi kepada bayi-bayi China, sanak-saudara mereka sendiri.

Justeru, apakah kita hairan apabila membaca berita di Sepanyol dan Portugal, ada pembekal minyak zaiton membubuh minyak hitam yang terpakai untuk dijual sebagai campuran minyak zaiton.

Justeru, apakah kita hairan apabila membaca bagaimana kontraktor Bumiputera yang bersunat dan selalu naik umrah telah membuat bangunan sekolah, bilik makmal dan hospital dengan menggunakan barangan tidak berkualiti dan akhirnya bangunan-bangunan ini runtuh?

Semua ini dilakukan kerana mereka hidup mengikut hukum dan budaya kapitalisme. Keuntungan maksimum adalah tuhan baru yang sedang disembah. Selama 30 tahun kebelakangan ini, tuhan baru ini muncul di serata pelusuk dunia.

Tuhan ini akan berada di mana sahaja wujudnya sistem ekonomi kapitalis, termasuk di Malaysia.

Tiga puluh tahun dahulu, air, api, jalan raya, hospital, bank, sekolah, universiti, telefon, radio, tv – semua ini milik kita bersama. Semua ini hak milik negara, bermakna hak milik orang ramai. Tiba-tiba harta orang ramai ini telah diswastakan.

Siapa sebenarnya yang menelurkan dan mencadangkan dasar penswastaan ini? Dasar ini dimunculkan oleh pemikir kabel-kabel Illuminati. Para pemikir daripada pelbagai think tank (kumpulan pemikir) ini yang telah mengajukan agenda penswastaan kepada Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebagai satu usaha untuk apa yang mereka panggil – cara untuk memperbaiki dan mengembangkan ekonomi di negara-negara sedang membangun.

IMF dan Bank Dunia menjadikan penswastaan ini sebagai dasar untuk diterima pakai. Negara Dunia Ketiga yang miskin, jika ingin meminjam dana dari bank-bank antarabangsa, diwajibkan menjalankan dasar penswastaan. Penswataan bermakna menjualkan harta hak milik orang ramai kepada kaum kapitalis antarabangsa.

Di belakang dasar penswastaan ini, para pemilik bank dari kabel Illuminati. Para pemilik bank yang telah mengumpulkan berbilion kertas dolar memerlukan pasaran pelaburan baru. Hukum ekonomi kapitalis mewajibkan kaum pemodal terus mencari pasaran baru.

Di Eropah barat, pasaran telah tepu. Maka kabel Illuminati telah mengarahkan Bank Dunia dan IMF memaksa buka seluas mungkin pasaran di negara Dunia Ketiga. Hasilnya, kita melihat harta negara kita – air, telefon, tv, jalan raya, hospital, bangunan, bank – semuanya bertukar tangan.

Apabila Perang Dingin tamat lihat apa yang telah terjadi kepada Rusia dan Eropah Timur. Negara-negara ini yang sedang mengamalkan sistem ekonomi sosialis telah diasak dan diserang. Rusia dipecah-pecahkan. Perang dicetuskan di Bosnia, di Kosovo, di Montenegro dan di Chechen – semua ini perancangan licik untuk memaksa harta rakyat di Eropah timur dijual kepada kaum pemodal antarabangsa.

Sesudah dasar penswastaan diterima pakai, kita mula terdengar apa yang dikatakan "dunia tanpa sempadan". Dunia tanpa sempadan ini agenda Illiminati untuk melupuskan kedaulatan negara. Dunia tanpa sempadan bukan bererti orang Afrika boleh senang-senang masuk ke Eropah.

Dunia tanpa sempadan bukan bererti buruh rakyat Pakistan boleh masuk ke Jepun untuk mencari kerja.

"Tanpa sempadan" hanyalah untuk duit kaum pemodal masuk ke mana sahaja bagi memaksimumkan untung mereka. Modal antarabangsa ini tidak boleh diganggu-gugat ketika modal ini sedang mencari keuntungan maksimum di mana sahaja di dunia ini. Dunia tanpa sempadan hanyalah untuk para pelabur antarabangsa "bermain tikam dan berjudi" di pasaran saham negara-negara Dunia Ketiga.
Lihat apa yang berlaku di Asia Tenggara pada 1997. Lihat bagaimana kaum kapitalis antarabangsa telah menerobos masuk dan menekan negara-negara Asia Tenggara dan akhirnya banyak hospital kita terjual, telefon kita terjual, sistem pendidikan kita terjual.

Lihat Tesco, Carrefour, Giant, Courts, AIA, ING, Ikea, Burger King, MacDonald, Shell, Esso – semua ini milik pemodal antarabangsa. Semua ini dipaksakan ke dalam pasaran kita melalui perjanjian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

WTO memaksa negara Dunia Ketiga membuka pasaran untuk pemodal antarabangsa masuk mencari untung. Perjanjian ini adalah perjanjian terbuka yang berat sebelah – sama seperti perjanjian-perjanji an East India Company yang telah dibuat oleh Sultan Johor dengan Raffles pada 1819, sama seperti perjanjian Sultan Kedah dengan Francis Light pada 1786, sama seperti Perjanjian Pangkor 1874 yang akhirnya Tanah Melayu jatuh ke tangan British.

Dari zaman penjajah dahulu, cita-cita kaum pemodal kapitalis ini untuk memiliki dunia ini tidak pernah padam-padam. Cita-cita kaum pemodal antarabangsa ini - untuk menjadikan umat manusia sebagai hamba - adalah manifesto Orde Baru Dunia.

Kabel-kabel Illuminati saban hari merancang. Hari ini semua strategi telah dirancang, semua telah disusun. Para pemilik bank di belakang Iluminati sedang dalam persediaan akhir untuk melahirkan apa yang mereka katakan Orde Baru Dunia.

Lihatlah nanti bagaimana kabel-kabel Illuminati ini akan memaksa Malaysia untuk menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA). Dalam perjanjian ini, tidak ada yang `free' (percuma atau bebas). FTA ini akan memaksa kita terus membuka semua pasaran negara kita untuk kaum pemodal antarabangsa mencari keuntungan maksimum.

Orde Baru Dunia ini adalah dunia baru di mana kedaulatan negara tidak wujud lagi. Rancangan ini sedang diatur – Kanada, Amerika Syarikat dan Mexico telah disatukan. Kemudian, seluruh selatan Amerika akan dijerut masuk. Eropah sedang bersatu – ia akan menjerut masuk Afrika dan Timur Tengah. Asia akan dikepalai oleh Jepun yang akan menjerut semua negara di Asia.

Lihat sekarang, telah wujud Asean dan Apec untuk Asia, Kesatuan Afrika Union untuk benua tersebut, dan Kesatuan Negara Amerika Selatan untuk Amerika Latin. Semua ini adalah perancangan Illuminati. Semua ini direstui oleh kaum pemodal antarabangsa. Rancangan akhir mereka ialah untuk memastikan semua rakyat dunia ini akan tunduk kepada kuasa mereka.

Dalam masa yang tidak lama lagi, manusia akan dicap dengan mikrocip. Tidak percaya? Bukankah idea ini telah terkeluar dari mulut seorang pegawai polis Malaysia tiga tahun dahulu dan berita ini telah dilaporkan dalam Utusan Malaysia. Mikrocip ini untuk bayi yang baru lahir – atas alasan untuk mengekori penjahat.

Tetapi hakikatnya mikrocip ini untuk mengawal semua umat manusia agar tunduk kepada sistem ekonomi kapitalis. Umat manusia akan taat bekerja dari jam 9 hingga 5 – hanya bercuti Sabtu dan Ahad.

Jika sopan dan tekun, mereka akan dapat gaji untuk membeli kondo, i-pod, Kancil, kasut Prada, beg Luis Vuitton dan pelbagai jenis "biji-biji saga" yang dijanjikan.

Sila baca novel 1984 oleh George Orwell dan tontonlah filem Metropolis oleh Fritz Lang.

Ini semua bukan dongeng konspirasi. Ini bukan plot sebuah novel yang belum siap. Inilah hakikat politik dunia hari ini. Memahami politik dunia hari ini amat penting.Untuk membawa panji-panji islam kembali ke tempatnya,kita harus mengkaji dan peka terhadap semua ini.

Jika kita gagal untuk memahami garis dan strategi Illuminati, maka kita tidak akan melawan. Jika tidak bangun melawan, maka umat manusia dalam dunia ini akan dijadikan hamba abdi oleh golongan-golongan syaitan ini.

Wahai Ikhwan, majulah kita semua,jangan kita lemah,jangan sesekali alpa dengan kehidupan yang sementara ini.Kembalikanlah diri mu kepada asal usul kejadian mu yang telah berjanji hidup dan mati mu hanya untuk Allah sahaja.

Allahuakbar! !!!!